Wednesday 27 February 2013

~RINDUU~

assalamualaikum...
Allahuakbar,rasa rindu kembali bertamu di hati..masih teringat saat dirinya menitiskan air mata mengenangkan ujian yang dtg bertimpa-timpa...semoga engkau tabah adikku...jgn mengalah dengan apa yang dah terjadi kerana kamu layak untuk merasa bahagia...andai seseorang dipisahkan darimu maka ingatlah boleh jadi ALLAH sudah menyiapkan ramai lagi teman yang terbaik untukmu juga untukku...siapa sangka orang yang dulunya xrapat dgn kita tiba-tiba menjadi org yg berkongsi suka & duka....sahabat sejati xmudah dicari tp saat kita perlu, dia akan hadir...percayalah....



akak rindu kamu...moga bertemu kembali...andai tidak di dunia biarlah di Syurga nanti...terima kasih sebab sudi hadir dalam hidup akk...

TQ NORFARAHAIN BT SA'ADON

(sila click link ini)

Tuesday 26 February 2013

Sayangkah Engkau Padaku?


"Kan banyak kerja dekat pekan tu. Pegi la apply," aku terdiam mendengar kata yang diucapkan oleh satu-satunya adikku itu.
Sejujurnya aku terasa hati. Adikku sayang. Bosankah engkau kerana sering melihatku di rumah kita yang tidak seberapa ini? Bosankah lidahmu menjamah masakanku setiap pagi, tengah hari, dan malam? Adakah aku menyemak di dalam hidupmu?
Aku tersengih lantas menjauhkan diri darinya. Abang cuma diam membisu. Tidakkah engkau ingin mengatakan sesuatu untuk membelaku wahai abang?
Adikku, apakah dirimu bosan mendengar nasihatku? Ku harap dirimu menjadi matang. Apabila di suruh ibu, engkau berpura-pura tidur lantas berpura-pura itu menjadi benar. Engkau benar-benar tidur. Akhirnya, aku yang mengerjakan apa yang di suruh ibu.
Aku tidak merungut dik. Tapi sejujurnya aku kecewa dengan sikapmu. Aku berusaha memahami dirimu sehinggalah bila engkau melukai hatiku, aku tidak akan membalas. Pernah berkali-kali ibu memintamu mengangkat sebaldi air untukku tetapi tidak engkau laksanakan. Tak mengapa dik, ia telah berlalu dan aku juga tidak mengharap padamu ketika itu. Lalu dengan bersusah payah diriku memaksa kakiku yang bengkak melangkah mengangkat sebaldi air kerana sudah dua hari diri ini tidak mandi.
Adikku sayang, engkau dengan malu-malunya menerima wang RM50.00 dariku. Aku tersengih. Beberapa minggu kemudian, engkau dengan malu-malu meminjam lagi RM50.00. Engkau berjanji akan membayarnya bila mendapat biasiswa nanti. Aku tersenyum lagi. Ku tahu benar sikapmu sayang. Dalam hati aku menghalalkan wang itu. Padaku, apalah nilainya sekeping kertas yang tertera "RM 50.00"  itu dibanding dengan dirimu. Kita hidup bersama hampir 18 tahun. Duit itu baru singgah beberapa hari dalam hidupku. Tak mengapa dik. Engkau gunalah wang itu untuk membeli top up dan sebagai tambang pulang dari sekolah. Walaupun aku sebenarnya mengharap dirimu membeli buku latih tubi yang harganya engkau juga tahu ianya lebih murah dari top up RM 5.00 itu.

Adikku, jangan bersedih. Engkau tidak buruk pada pandangan mataku. Cuma diri ini sedikit kecewa. Engkau mempunyai paras yang kacak, sopan tutur bicara dengan orang tua selain dari ibu kita yang telah tua dan kurus tubuhnya itu. Aku kecewa kerana sikapmu itu tidak engkau kekalkan di rumah. Padahal kami lebih memerlukan sikapmu itu.

Adikku, dua tahun lalu diri ini melanjutkan pelajaran ke IPTS. Apabila diri ini pulang bercuti atau pulang kerana menguruskan pinjaman, terkadang ibu tiada di rumah. Ibu ke kebun seorang diri tanpa di temani sesiapa. Betapa pilu hatiku.

Satu hari aku ke hutan mencari orkid dengan ibu untuk di jual di pasar. Ibu luahkan segala-galanya. Air mataku hampir menitik. Tapi aku kuatkan semangat. Tak mungkin ku tunjukkan air mata ini di hadapanmu ibu. Aku tak mahu engkau menyesal menceritakan semua itu kepadaku.

Aku melihat ada riak-riak kecewa pada raut muka ibu. Ibu kata kakak begitu begini. Ibu kata abang begitu begini. Mereka semua menghalang ibu masuk ke hutan dan pergi ke kebun untuk mengorek halia. Jangan risau adikku, ibu tidak menyebut dirimu. Bukan kerana engkau membantu ibu. Tapi engkau tinggal di asrama ketika itu.

Ibu berkata lagi, "Diorang tak suruh ibu pegi kebun, suruh duduk rumah je. Tapi kenapa diorang tak pergi kebun? Kenapa tak temankan ibu ke kebun?"

Aku terdiam. Cuba menahan air mata. Adikku, bayangkanlah kekecewaan ibu. Ibu menyambung bicaranya, "Diorang tak fikir ke kalau ibu duduk rumah jediorang nak makan apa? Pandai cakap je tapi taknak tolong."

Aku tidak sanggup melihat ibu berterusan begitu. Lalu aku mengubah topik. Aku cuba membuat lawak. Aku tahu ibu memaksa tawanya berderai. Di hutan itu aku dan ibu memakan bekal nasi putih dengan ikan masin. Jangan menangis dik. Cerita ini ku tulis bukan untuk mengalirkan air matamu.

Dik, banyak lagi perbualan antara aku dan ibu di dalam hutan sana. Tapi aku tidak mahu mendedahkannya lagi. Bimbang engkau akan mengambil keputusan seperti diriku.

Bulan sudah engkau mengatakan abang long menyuruhmu memasuki Tingkatan Enam Rendah. Tawaran itu juga pernah diberikan kepadaku setelah aku mengambil keputusan untuk berhenti dari kolej. Abang long kata, dia akan tanggung pembelajaranku. Katanya, masuk dekat sekolah swasta dulu sebelum tukar sekolah kerajaan. Tetapi aku menolak.

Adikku, aku tidak mahu menanyakan soalan itu. Tapi kerana tidak ada apa lagi yang hendak di bicarakan aku bertanya juga.

"Dia kata jangan jadi macam saya kan?"

 "Iya" jawabnya ringkas sambil tersengih. Ah, engkau memang selalu tersengih. Aku juga begitu sebenarnya.Biarlah. Mereka tidak tahu apa yang aku fikirkan.

 Aku juga tidak mahu mereka memikirkannya. Cukuplah Allah sahaja yang tahu.

Adikku, pada suatu petang semasa berada di dalam kebun mak berkata, "Kita kena pulang awal. Mak tak tahan lagi." Aku cemas. Aku melihat mak memang tidak berdaya lagi. Lututnya terketar-ketar. Bibirnya pucat. Mak memegang dahinya. Aku tahu ibu pening. Aku bergegas mengumpul semua halia.

Aku tidak pernah menceritakan ini kepada sesiapa adikku. Tapi untuk menyara kita sekeluarga ibu sanggup melawan segalanya. Ku kira setelah itu pasti kami akan bergegas ke jalan besar yang hampir empat kilometer jauhnya. Jangkaan ku meleset dik. Ibu singgah sekejap di ladang getah makcik untuk mengutip paku pakis yang hidup subur. Engkau pun tahu keadaan jalan ke kebun bagaimana. Melalui bukit-bukau dan sebagainya. Jika ku punya badan besar dan empat tangan seperti di dalam kartun Ben 10 pasti akan ku dukung ibu dan tangan yang lain menjinjing karung yang berisi halia dan hasil hutan yang lain. Waktu itu hatiku mengumpat abang kita dik.

Dik, akhirnya kami sampai di rumah dengan selamat. Selalunya ibu ku kira akan terus berehat seperti diriku. Tapi engkau juga tahu sikap ibu bagaimana. Ibu ke nurseri pokok buah-buahan milik abang. Engkau tahu hasil dari nurseri itu tidak seberapa. Ibu memilih beberapa pokok buah-buahan untuk di jual di pasar esok. Aku malu bersenang-senang begitu dik. Lantas aku ke dapur. Aku sedikit kecewa melihat piring belum berbasuh dan nasi belum di masak. Aku geram lalu membiarkan sahaja begitu. Aku lalu turun membantu ibu. Walau sering membantu, aku masih tidak dapat menghafal harga setiap anak pokok itu.. Biarlah.. Memang begitu sikapku.. Aku jarang mengambil tahu jika ia bukan hak ku. Sebab itu aku jarang merasa kecewa. Kerana aku tahu tiada satu pun di dunia ini merupakan hak diriku. Dirimu juga ku pinjam dari Allah.

Malamnya setelah mengqadha solat, aku membantu ibu mencuci halia. Ibu tertawa melihatku membasuh halia seperti membasuh piring. Siap dengan menggunakan span sekali. Adikku, terkadang bila engkau pulang bercuti engkaulah yang di suruh ibu untuk mencucinya. Tetapi engkau hilang ke padang bola. Lalu aku tanpa sepatah kata mengambil alih tugasmu. Jarang sekali engkau menunaikan permintaan ibu. Apabila aku menegur, engkau hanya mendiamkan diri dan tidak lama kemudian engkau mula bergerak membuat kerja. Itu yang aku ingat tentang dirimu.

Seingatku, aku jarang sekali meninggikan suara kepadamu. Aku menegurmu dengan baik. Aku berusaha menjadi seseorang yang boleh engkau banggakan. Aku tahu, rakan-rakanmu cemburu melihatmu mempunyai saudara kandung seperti ku. Terkadang ku lihat mereka menghormatiku lebih dari mereka menghormati saudara mereka sendiri. Adikku, jangan risau. Aku bersyukur kerana engkau adikku.

Setelah solat subuh, aku menggagahkan diri menyiapkan sarapan untuk ibu. Aku juga menyediakan bekal air untuk ibu. Setelah itu aku mengangkat jualan ibu ke tepi jalan. Kalian pada waktu itu menyambung tidur setelah solat subuh. Terkadang abang yang seorang lagi membantuku. Kerana keletihan pada hari kelmarin, aku menyambung tidur.

Adikku, masihkah engkau ingin aku mencari kerja di luar sana? Adikku. Tidak mengapa jika engkau tidak menyedarinya. Aku juga tidak mahu engkau terhutang budi.

Adikku, selama diri ini membantu ibu menyara keluarga, diri ku insaf. Dulu aku juga sepertimu. Sering meminta wang. Tapi aku menggunakannya untuk mengisi perut. Beza antara aku dengan dirimu, dahulu aku belajar menggunakan apa yang ada. Seingatku aku hanya mempunyai beberapa buah buku rujukan milik sendiri. Yang lainnya adalah milik abang kita. Itupun formatnya telah tidak di gunakan lagi.. Aku belajar Bahasa Inggeris menggunakan buku MUET dan Level O. Padahal aku baru Tingkatan 5.

Kerana keadaan keluarga kita yang tidak seberapa, engkau memasuki asrama. Tetapi tidak lama kemudian engkau keluar dari asrama itu. Aku faham. Kerana aku juga pernah tinggal di sana. Mesti engkau penat dan sering tertidur di kelas. Aku menawarkan diri untuk membantumu belajar. Terutamanya Bahasa Inggeris. Tetapi engkau menolak. Jika engkau belajar di ruang tamu, aku menemanimu. Dalam fikiranku, kalau ada apa-apa pasti dia akan bertanya padaku. Semua orang telah tidur pada waktu itu. Hanya kita berdua yang berjaga. Aku membaca buku agama sambil mencuri-curi pandang padamu. Aku kecewa. Engkau leka melayan SMS. Aku menyuruhmu menghentikannya dan mengugut akan mengambil simcard. Engkau terdiam.

Beberapa hari kemudian aku melihatmu semakin menjauhkan diri daripada handphone. Aku gembira. Tetapi aku kasihan bila engkau mengatakan engkau menangis kerana rindu kepada teman wanitamu. Aku berlembut hati dan memberi kelonggaran sedikit. Boleh mesej tapi bukan selalu.

Bila SPM telah tiba, engkau tinggal di asrama. Aku kecewa. Kerana semasa engkau berada di rumah engkau selalu menolak khidmatku untuk mengajarmu. Aku bertambah kecewa apabila setiap kali mesej yang engkau kirim selama engkau di asrama bukan apa-apa. Cuma mesej meminta perkongsian kredit sebanyak RM 1.00. Terkadang aku memberi. Terkadang aku abaikan kerana tidak mahu engkau hanyut dengan cinta manusia itu. Kreditku juga diisi oleh seorang yang misteri. Seperti yang ku katakan tadi, aku tahu tiada satu pun yang menjadi hak ku di dunia ini. Jadi ku biarkan ia juga menjadi rezeki mu.

Adikku, aku kecewa lagi apabila keputusan SPM keluar. Tetapi aku lebih kecewa bila engkau tidak menjaga solatmu.

Sayang, suatu ketika dahulu sebelum abang kita memberimu handphone N95 itu engkau sering meminjamhandphone ku yang tidak seberapa ini. Sehingga pada suatu hari handphone ini di masuki virus akibat aktivitibluetooth-membluetooth yang engkau lakukan. Pada ketika itu handphone ku tiba-tiba tidak boleh berfungsi. Engkau takut separuh mati sehingga takut untuk memberitahuku. Apabila aku meminta handphone itu, engkau membawa ia ke sana dan ke sini. Engkau kira aku akan marah. Adikku, aku bukan mahu engkau takut padaku. Aku menyedari hal itu dan dengan tenang berkata "Biarkanlah handphone tu macam tu. Nanti dia ok lah jugak". Engkau menikus. Aku cuma tersengih. Padahal aku juga tidak tahu sampai bila ia akan terus berkeadaan begitu kerana semasa itu berlaku dulu, ia mengambil waktu berminggu-minggu untuk pulih. Alhamdulillah ianya tidak lama. Cuma sejam barangkali. Sentiasalah bersangka baik pada Allah.

Adikku, mungkin aku tidak sempurna. Aku merasa tidak berguna bila engkau dengan nada menyindir menyuruhku untuk mencari kerja. Aku merasa hormatmu padaku telah berkurangan. Adakah engkau malu pada teman-teman punya kakak yang hanya terperuk di rumah?

Adikku, tanpa diduga aku dipanggil untuk bekerja tidak lama selepas itu. Aku gembira. Ku kira inilah masanya untuk menjadi seperti apa yang kau inginkan. Adikku, tahukah engkau apa yang terjadi? Diri ini berjumpa dengan berbagai ragam manusia. Adikku, kerja di luar rumah itu tidak sesuai untuk diriku. Lalu aku berhenti kerja. Dan aku terkejut apabila engkau dan abang mengatakan aku telah berubah. Aku menjadi kasar dan biadap. Aku terkejut. Mungkin kerana pergaulan dengan teman-teman. Kerana kerja itu juga, Quran ku tidak terjaga. Mungkin kerana melihat perubahanku itu engkau tidak lagi bising soal kerja.

Adikku, dahulu aku juga ingin bekerja. Tapi aku risaukan ibu. Lalu aku ketepikan niat itu. Adikku, dahulu aku ingin membuat pinjaman untuk berniaga. Tetapi ibu membantah. Lalu aku mengalah. Adikku, dahulu aku ingin bercinta. Tetapi aku mencari lelaki yang baik dan serasi dengan dirimu. Jika engkau tidak suka, aku akan membiarkan ia pergi. Adikku, aku sayang padamu. Beberapa kali aku bertanya dengan nada bergurau, "Aku sayang engkau. Engkau sayang aku ke tak?" Engkau dengan selamba berkata "Tidak". Aku hanya tersengih.

Adikku, hari itu aku pening. Lalu berhenti sebentar di hadapan pintu sambil menyandarkan kepala. Engkau tersenyum-senyum lalu menggenggam kepalaku dengan kuat sekali. Setelah itu engkau hantuk-hantukkan ke pintu. Aku tahu engkau bergurau. Aku tidak dapat mengawal imbangan badan lagi. Lalu jatuh terkulai ke lantai. Semasa jatuh kepalaku terhantuk di sebuah kotak besi. Pandanganku gelap. Kepalaku sakit. Tolong jangan bergurau seperti itu lagi adikku.

Bukan Hatinya Tidak Pernah Sedih


Hati manusia, walau sekeras mana pun pasti akan lembut. Tapi semua itu atas kehendak yang Berkuasa...
Dia tidak pernah menangis apabila dikutuk dan dikritik di hadapan khalayak. Baginya, menangis itu menunjukkan kelemahan. Walaupun hatinya terdetik, "Ya Allah, apakah dosaku sampai aku diperlakukan sebegini."
Dia tidak pernah mengadu kepada sesiapa kecuali seorang teman yang dia amat percaya. Baginya, biarlah semua itu dipendam sendirian. Biarlah semua orang tidak tahu penderitaan dan sengsara yang ditanggung. Atas sebab apa? Manusia hanya pandai menilai melalui paras rupa, tingkah laku, cara percakapan tapi jauh di sebalik hati tiada siapa yang tahu.
Entah mengapa semakin hari dirinya merasakan kehilangan sesuatu. Bukannya kekasih ataupun sesiapa yang disayangi. Tapi kegembiraan yang selama ini dinikmati semakin jauh dibawa arus. Semua orang yang mengenali tahu dia seorang yang sabar, kuat dan jarang menunjukkan kemarahan dan kelemahan di hadapan sesiapa. Tapi hati manusia bergelar wanita tiada siapa tahu atau cuba selongkari. Dia terkenal di sekolah antara pelajar yang agak nakal, bukan daripada segi disiplin tapi nakal dari segi tingkah laku, suka kacau orang, suka gegarkan kelas, suka buat orang ketawa malah suka buat orang sakit hati. Tapi itu cuma sementara, untuk menutup kelemahan yang ada. Baginya teman di sekolah dan di sisi tidak sama. Di sekolah tempat dia bergembira tanpa kenal perasaan sedih tapi bila tiba waktu pulang perasaan sebak menanti di hati. Kenapa?
Kerana dia bukannya tidak pernah sedih....
Hampir setiap hari dirasakan masa sungguh pantas berlari. Sehinggakan setiap malam merintih pada-Nya memohon kemaafan dan keampunan atas dosa yang dilakukan. Baginya diri belum cukup sempurna selagi ada mata-mata yang memandangnya jelek. Atas gaya jalan seperti lelaki sehingga ada guru di sekolah berkata, "Brutal dia ni." Tapi apakan daya, cara jalan dia memang sebegitu. Bukannya dia tidak pernah cuba untuk memperbaiki.
Biarlah orang berkata apa yang mereka suka, sebab mereka ada hak untuk berkata-kata. Tetapi prinsip hidupnya tidak pernah lari. Dia tidak pernah kenal apa itu cinta manusia, dia hanya mencari cinta Ilahi. Itulah yang perlu dicari untuk perjalanan akhirat nanti. Janji Allah itu pasti. Tapi dia juga masih ingin mengenal kasih sayang.  Dia seorang wanita yang amat memerlukan kasih sayang. Dalam hidupnya penuh duka walaupun di mata temannya dia seorang yang ceria.
Pernah suatu ketika, hatinya hancur dek kehilangan insan yang amat disayangi. Insan bernama ayah yang amat penyayang lagi bertanggungjawab. Walaupun waktu kecil dahulu dia sering dirotan, dicili akibat kenakalan. Tahun ini genap tiga tahun pemergian insan tersebut. Terlalu pantas masa berlalu. Masih berkesempatan dia menjenguk ke daerah pusara ayahandanya. Tahun ini juga sudah empat kali dia tidak dapat mencium tangan dan dahi, mendakap penuh mesra ayahnya. Masih dirindui gelak dan suaranya walaupun ketika itu ayahnya sedang sakit.
Banyak lagi kehilangan yang berlaku dalam hidupnya. Rakan-rakan seperjuangan yang sama-sama menuntut ilmu, sahabat yang turut sama mengikuti program, adik-adik yang mengikuti perkembangan dirinya. Namun, diasering kecewa dan hampa apabila tangan yang dihulur, ludah yang diterima. Nilai persahabatan yang dihulurkan, keegoaan, kesombongan dan kerendahan yang diterimanya.
Sehinggakan sampai satu masa, dia merajuk lalu pergi meninggalkan semua. Atas alasan apa? "Biarlah aku sendirian, kerna mereka lebih suka aku pergi."
Kini, dia cuba bangkit kembali untuk menebus kekhilafan diri. Namun, sekali lagi dia jatuh terduduk sehingga memaksa untuk memaut pada sesuatu. Apakan daya, kudratnya hanya tinggal sisa. Sisa yang tinggal sementara untuk meniti alam sana. Atas sebab apa dia sedemikian rupa?
Rupanya kasih yang ingin dicurahkan, ukhuwah yang ingin disemaikan disalah tafsir. Malahan dakwah yang diketengahkan, nasihat yang diberikan dibalas dengan kesombongan dan keegoaan seorang manusia. Sekali lagi kekecewaan dan hiba menusuk hati.
"Andai sekali ini nasihatku tak diperlukan lagi, aku reda ya Allah. Sungguh aku tahu aku belum cukup sempurna. Maka, aku reda."

Kuatkah Daku Andai Tiang Itu Masih Rapuh?


Everytime you feel like you cannot go on
You feel so lost that your so alone
All you is see is night
And darkness all around
You feel so helpless
You can't see which way to go
Don't despair and never loose hope
Cause Allah is always by your side
Insha Allah...
Telefon bimbitku berulang-ulang kali mendendangkan lagu InshaAllah nyanyian penyanyi arab terkenal, Maher zain. Oleh kerana lagunya sangat menenangkan serta menyentuh kalbu,aku menjadikannya sebagai nada dering untuk jam locengku di telefon bimbit.Tanganku pantas meraba ke bawah bantal mencari telefon bimbitku. ”Hah,dapat pun!” Dengan bersusah payah aku membuka mata dan...
Astaghfirullahalazim! 6.07 pagi?
Aku kesiangan lagi pagi ini dan yang paling menyedihkan solat subuhku ‘gajah’ lagi.Mungkin bukan gajah tetapi ‘dinosaur’ layaknya kerana kini subuh di Mesir masuk waktu seawal sekitar 4.15 pagi.Masuk pagi ini sudah tiga kali berturut-turut aku terlewat bangun untuk mengerjakan solat subuh.
Lantas aku beristighfar lagi sambil melompat dari atas katil. Langkahku dipercepat.Tiang agamaku tidak mungkin kubiarkan terus rapuh. Biar sudah terlambat, solat harus dikerjakan dan keampunan harus kupinta daripada Yang Maha Pengampun.
Matahari semakin terik. Peluh cepat sahaja bertelur di dahiku. Mujur kelas selama enam jam berturut-turut sudah pun tamat, alhamdulilah. Namun ada sesuatu yang kukesali. Walaupun si pensyarah hebat dalam menerangkan ilmu-ilmu medik kepada kami, nampaknya aku gagal memahaminya dengan baik.
Aku tidak dapat fokus sedang teman-teman yang lain tersenyum lebar sambil memuji-muji kehebatan si pensyarah tadi menghurai tajuk pelajaran pada hari ini. Muhasabahku mengingatkan aku kepada solat subuh yang terlewat pagi tadi. Mungkin inilah akibatnya apabila solat subuh yang merupakan permulaan hari pun tidak dikerjakan pada waktunya. Bibirku melafazkan istighfar lagi.
Setibanya aku di asrama MARA, aku terus mengajak ahli baitku mengerjakan solat asar berjemaah. Kali ini solatku lebih khusyuk seolah-olah ingin berlama-lama ‘menghadap’ Dia demi memohon keampunan dari setiap penjuru khilaf yang telah ku perbuat. Usai solat, wirid yang aku imami sengaja aku panjangkan dek kerana perasaan rasa bersalahku padaNya masih berbaki.
Satu jam lagi Madrasah al-Razi akan bermula. Hendak mengulangkaji pada waktu petang-petang sebegini selalunya apa-apa yang dibaca susah sedikit mahu difahami, tambahan pula memang aku sudah terbiasa belajar selepas solat maghrib. Untuk mengisi masa lapang ,ku buka komputer ribaku untuk menyemak emel. Tiba-tiba ‘offline message’ dari Kak Mardhiah,mahasiswi usuluddin Universiti Al-Azhar muncul di skrin.
Dalam hadis Nabi SAW disebutkan:
Orang yang meninggalkan solat lebih besar dosanya dibandingkan dengan orang yang membakar 70 buah Al-Quran, membunuh 70 nabi dan bersetubuh dengan ibunya di dalam Kaabah. Dalam hadis yang lain disebutkan bahawa orang yang meninggalkan solat sehingga terlewat waktu, kemudian ia mengqadanya, maka ia akan disiksa dalam neraka selama satu huqub. Satu huqub adalah lapan puluh tahun. Satu tahun terdiri dari 360 hari, sedangkan satu hari di akhirat perbandingannya adalah seribu tahun di dunia.
Aku terkedu. Mesej yang diterima betul-betul terkena di batang hidungku sendiri. Tidak dapat kubayangkan betapa seksa dan dahsyatnya azab Allah SWT. Air panas yang terkena ditanganku semasa membancuh teh pagi tadi pun sudah cukup membuatku terjerit, apatah lagi azab Allah yang maha pedih.
”Nauzubillah min zalik”, ucapku dalam hati.
Sememangnya pagi tadi aku bukan sengaja melewatkan solat subuhku.Aku cuma terlewat bangun kerana kepenatan belajar sehingga terbawa-bawa ke dalam lena yang panjang. Namun perasaan bersalah terasa kuat sehingga diri terasa hina. Ah,lama sungguh aku melayan perasaan. Madrasah al-Razi bakal bermula sebentar sahaja lagi.
Tingkat 3 bangunan MARA Iskandariah sudah dibanjiri dengan kedatangan mahasiswa dan mahasiswi. Seperti biasa,bilangan akhawat melebihi bilangan ikhwah yang hadir. Tidak lama kemudian,Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai ‘Akhi Salman' di alam maya tiba diiringi beberapa orang ikhwah.
Syukur pada Allah kerana dengan adanya insan yang bersungguh-sungguh mahu berkongsi ilmu seperti Ustaz Salman, kami mendapat pelbagai ilmu yang sudah semestinya tidak mungkin diperolehi di Fakulti Perubatan. Meskipun sistem pembelajaran tampak menarik diselang-selikan pula dengan lawak-lawak ustaz yang pastinya mengundang tawa, tumpuanku agak terganggu dengan kehadiran ikhwah yang seorang ini.
Petang ini, dia kelihatan bersahaja memakai baju melayu berwarna biru laut, warna kesukaanku. Tambahan pula, dia memilih untuk duduk betul-betul sebaris denganku. Ah,Allah memang sengaja ingin menguji keimananku. Pandanganku asyik tertumpu ke arah pemuda itu. Entah mengapa hatiku berkenan sungguh padanya. Mungkin kerana akhlaknya yang baik, ditambah pula dengan sikapnya yang peramah serta berkepimpinan. Tetapi dia tidak pernah mengetahui bahawa aku mengaguminya dalam diam. Cuma terdaya memandangnya dari jauh.
Lamunanku terhenti apabila ustaz menyentuh bab hati. Tumpuanku bertambah semula. Ada kata-kata ustaz yang merenggut ketenangan di hatiku. Kata ustaz, semasa solat kita hendaklah khusyuk kerana apabila kita teringat perihal dunia sedang bibir memuji kebesaranNya, Allah akan berkata dengan nada yang sedih:
”Yang mana lebih penting? Aku atau perihal dunia yang kau ingat itu?”.
Kemudian apabila kita teringat lagi perihal dunia buat kali kedua setelah datangnya khusyuk, Allah akan bertanya soalan yang sama buat kali kedua. Dan apabila kita teringat perihal dunia buat kali ketiga, Allah tidak akan bertanya lagi. Jika Allah sudah tidak hiraukan kita lagi, adakah solat yang kita laksanakan akan diterima?
Aku terus tersentak. Kelas Madrasah al-Razi kali ini betul-betul memberi impak besar pada diriku. Dadaku terasa bagai dihempap. Sedih, terkilan, menyesal, semuanya menjadi satu. Seisi kelas terdiam seribu bahasa bagai bermuhasabah sendiri pada waktu itu juga.Ya Allah,orang yang melaksanakan solat, tiang agamaMu pun ada cacat celanya apatah lagi orang yang menunaikan solat tetapi di hujung-hujung waktu sepertiku ini. Ya Allah, ampunkan hambaMu ini.
Kali ini mataku tidak terarah ke arah sang pemuda itu lagi. ”Maksiat mata!”, bentak hatiku. Aku bertekad,perasaan ini tidak harus dilayan dan solat selepas ini akan kukerjakan dengan sebaiknya walau terpaksa berperang dengan diri sendiri melawan kemalasan serta hasutan syaitan. Ya! Aku harus kuat untuk menjadi muslim yang sejati. Biar Islam pada diriku bukan sekadar tertulis hanya pada nama, tetapi biar terzahir pada hati, lafaz serta perbuatanku.
Allahuakbar,allahuakbar....
Azan sudah pun berkumandang. Alhamdulilah, pada kali ini aku berjaya menunaikan solat Subuh pada awal waktu. Aku berasa sangat sehingga di kelas pun aku masih tersenyum. Pada sujud terakhir, ada air mata keluar berlinangan dari kelopak mataku. Alangkah indahnya jika kita sentiasa hidup dalam keimanan. Alhamdulilah...

Berakhirnya Sebuah Pertemuan


Kringggg!!! Loceng berbunyi menandakan waktu rehat baru bermula. Pelajar-pelajar lain sudah  keluar dari kelas masing-masing dan mula membanjiri kawasan kantin sekolah. Irna hanya mampu menenangkan sahabatnya di sebelah. Dia tahu betapa menderitanya sahabat baiknya itu, namun sebagai insan biasa dia tidak berdaya memberikan bantuan. Hanya sokongan dan semangat yang mampu dihulurkan kepada insan setabah sahabatnya.

"Iman, jom kita pergi kantin. Iman makan sikit. Nanti Iman kena makan ubat," pujuk Irna walaupun dia tahu sahabatnya itu akan  menolak. Muka Iman yang pucat lesi ibarat tidak berdarah itu menggigit tangkai jantungnya. Sungguh, dia tidak kuat melihat keadaan sahabatnya sebegitu. Tanpa disedari kolam matanya pecah juga. Ada tangisan halus yang mengiringi air mata tersebut.

"Irna, kenapa ni? Janganlah menangis. Iman tak nak kawan-kawan Iman menangis sebab Iman. Lebih-lebih lagi Irna, sahabat baik Iman dunia akhirat, Insya-Allah," hati Iman bergetar menahan sendu yang berlabuh. Dia tahu perasaan Irna tika itu, namun sebagai hamba Allah yang hanya menumpang di dunia fana ini, dia akur dan pasrah atas segala takdir.
***********
Perkenalan mereka semenjak minggu orientasi untuk pelajar-pelajar baru membuahkan persahabatan yang kekal hingga ke hari ini. Mereka amat serasi bersama memandangkan mereka banyak berkongsi minat yang sama. Hidup yang suram gara-gara terpaksa berjauhan dengan ibu bapa dan keluarga akhirnya diwarnakan dengan suka duka dalam bersahabat. Iman dan Irna sangat bersyukur kerana Allah telah mempertemukan mereka berdua.

Ramai kawan mereka kagum melihat persahabatan mereka berdua. Keakraban mereka yang boleh diibaratkan sebagai isi dengan kuku itu menyebabkan ramai yang menggelar mereka sebagai adik beradik. Segala susah senang, sakit perit mereka dirasakan bersama. Andai salah seorang daripada mereka sakit, seorang lagi akan turut sakit menahan sebak di hati.

Irna termenung lagi. Sejak akhir-akhir ini dia semakin bimbang akan kesihatan Iman. Jika dahulu sahabatnya itu seorang yang ceria, kini segalanya seakan berubah. Walaupun ada senyuman yang terukir di bibir Iman, dia tahu segala derita yang ada di sebaliknya. Dia cuba berlagak tenang dan kuat ketika berhadapan dengan Iman tetapi jauh di lubuk hatinya hanya Allah sahaja yang tahu.

"Iman, tadi Cikgu Athirah ada pesan, kalau Iman sakit, jangan paksa diri pergi kelas, kalau ada apa-apa berlaku susah. Irna tak nak something happen kat Iman," kata-katanya hanya dijawab dengan pandangan mata Iman. Seperti biasa Iman hanya membiarkan bibirnya dihiasi dengan senyuman ikhlas yang selalu diukirkannya.

"Irna, insya-Allah, Iman pun tak nak something bad happen, tapi kita kena ingat, walau apapun yang telah berlaku atau yang akan berlaku, segalanya datang daripada Allah. Kita kena terima dan redha," nafasnya ditarik perlahan sebelum kembali berkata-kata.

"Irna, maafkan Iman ya, sebab dalam tempoh setahun ni Iman banyak menyusahkan Irna, dan terima kasih jugak sebab Irna selalu ada di sisi Iman. Jasa dan pertolongan Irna selama ni mungkin Iman tak sempat nak balas, hanya.."

"Iman, janganlah cakap macam ni. Iman tak menyusahkan Irna pun," Irna pantas memintas kata-kata sahabatnya itu. Dia tidak sanggup untuk mendengar bait-bait kata yang ingin disampaikan oleh Iman.

***********

Seperti biasa keluarga Iman akan datang melawat pada hujung minggu. Irna pula akan menemani Iman. Hubungan Irna dengan keluarga Iman juga semakin baik hari demi hari. Ibu dan ayah Iman sangat berterima kasih kepada Irna kerana telah banyak menolong dan memberikan kata-kata semangat kepada anak perempuan tunggal mereka. Hati ibu mana yang tidak sebak apabila melihat penderitaan si anak. Kalau diikutkan hatinya, ingin sahaja dia menjaga Iman sepenuh masa tetapi dia tidak berdaya. Memandangkan Iman bersekolah di sekolah berasrama, mereka sekeluarga pasrah. Namun, mereka bersyukur sekurang-kurangnya Iman mempunyai seorang sahabat yang baik seperti Irna.

"Iman, Iman dengar cakap ibu sayang," ada titis air di tubir mata ibunya."Iman mesti jaga diri Iman baik-baik tau. Ubat tu mesti makan. Kalau Iman sakit, beritahu ibu, beritahu warden. Kalau boleh ibu nak sangat jaga Iman. Ibu sedih tengok anak ibu tanggung sakit sorang-sorang," pelukan dieratkan diiringi dengan tangisan yang berpanjangan. Irna yang tidak dapat menahan kesedihannya juga turut menitiskan air mata . Begitu juga dengan ayah dan adik-beradiknya.

"Ibu, insya-Allah, Iman akan dengar nasihat ibu tapi ibu kena janji dengan Iman. Ibu janganlah nangis. Iman tak sanggup tengok ibu nangis sebab Iman. Ayah, jaga ibu baik-baik. Jangan bagi ibu lemah semangat, boleh ayah? Ibu?" ibu dan ayahnya hanya mampu mengangguk lemah.

"Irna, terima kasih atas segala-galanya. Ibu harap Irna boleh tolong tengok-tengokkan anak ibu. Kalau ada apa-apa berlaku, tolong beritahu ibu ye," Irna mengangguk perlahan seraya tunduk menyalami tangan milik ibu Iman. Hubungan yang baik antara mereka menyebabkan ibu Iman tidak segan membahasakan dirinya sebagai ibu dengan Irna.

*****************

"Iman, kenapa ni? Iman sakit lagi ke?" Irna semakin risau melihat keadaan Iman yang semakin teruk. Dia mula hairan dan bimbang jika ada sesuatu yang akan menimpa Iman."Iman, jom kita pergi hospital. Irna tengok Iman dah teruk ni, selalu je sakit kepala, muntah-muntah, kita pergi hospital ok?" Irna sudah tidak mampu berlembut dengan Iman. Sudah banyak kali dia cuba memujuk Iman untuk pergi ke hospital. Namun jawapannya tetap sama.

"Irna, Iman okeylah. Cuma sakit kepala biasa je ni. Nanti lepas makan panadol okeylah," Iman hanya senyum segaris.

"Tak boleh. Hari ni Iman kena dengar juga cakap Irna. Kita mesti pergi hospital hari ni. Iman tunggu sekejap. Irna nak inform  kat warden," pandangan Iman mengiringi langkah sahabatnya.

"Dah lama ke sakit ni?" doktor di hadapan memulakan bicara sambil mencatat sesuatu dalam buku laporan kesihatan.

"Ermm, agak lama jugak la, tapi dulu tak sakit macam ni. Sekarang ni sakit sangat-sangat. Kadang-kadang tak boleh nak tahan," Irna menggengam erat tangan sahabatnya. Dia berdoa agar tiada perkara buruk yang akan berlaku.

"Selera makan macam mana? Okey?"

"Entahlah doktor tapi sekarang ni memang tak boleh makan sangat, selalu je tak ada selera," doktor mengangguk perlahan sambil meneruskan catatan.

"Ermm doktor, maaf mencelah, tapi saya nak tahu kenapa hidung Iman berdarah. Kadang-kadang gusi pun sama," doktor mula memandang Iman.

"Kita buat blood test dulu, nanti kita tengok macam mana," Iman dan Irna saling berpandangan. Mereka mula merasakan seakan ada sesuatu yang tidak kena.

**************

"Iman, saya harap Iman akan bersabar, mungkin apa yang bakal saya sampaikan terlalu susah untuk diterima, tapi saya yakin Iman seorang yang kuat"

Berita yang disampaikan oleh doktor agar sukar untuk diterima. Sudah kering air matanya mengenangkan perkara tersebut. Namun, dia beristighfar panjang. Iman sedar segalanya telah ditentukan oleh Allah Pencipta Alam. Dari Dia kita datang dan kepada-Nya kita kembali. Akhirnya dia redha atas segala-galanya.

"Hasil dari blood test yang telah dibuat, saya dapati Iman menghidap penyakit leukemia," Iman dan Irna sangat terkejut dengan berita yang dikhabarkan. Bagaikan hendak luruh jantung mereka. Iman hanya mampu memandang Irna dengan pandangan kosong yang sukar untuk ditafsirkan.

"Pada mulanya saya ingatkan result tu salah. So saya dah buat test tu 2 kali dan hasilnya memang positif. Saya harap Iman banyakkan bersabar ya," doktor itu dapat melihat kesedihan yang terpancar di wajah mereka. Lidah mereka juga kelu untuk berbicara, mungkin masih terkejut dengan berita yang diterima.

"Penyakit ni dah peringkat kedua, dan mungkin kejam kalau saya cakap penyakit Iman ni dah nak sampai peringkat ketiga,""Kalau kita dapat kesan dari awal-awal, mungkin sempat untuk kita berikhtiar. Iman akan selamat kalau ada sum-sum tulang yang sesuai, tapi sekarang ni, agak susah untuk kita dapatkan sum-sum tulang yang sesuai, tapi insya-Allah, tak mustahil untuk sesuatu berlaku jika diizinkan oleh Allah,"

"Iman, Iman!!" Irna hairan melihat Iman yang jauh termenung. Dia tahu apa yang sedang difikirkan oleh sahabat baiknya itu. Setiap kali dia melihat wajah pucat Iman, pasti rasa sedih bertamu di hatinya. Sebagai hamba Allah yang lemah, dia hanya mampu berdoa agar sahabatnya itu diberikan kekuatan dan dipanjangkan umur.

"Eh, Irna, maaflah, Iman tak perasan tadi," Iman tersedar. Dia tahu dia harus kembali ke alam nyata. Berita tentang penyakitnya yang diterima sejak hampir setahun yang lalu sering mengganggu ketenangannya. Bukan dia tidak menerima takdir Allah tapi dia takut. Dia takut untuk menghadapi sakaratul maut. Bagi dirinya, bila-bila masa sahaja Malaikat maut akan menjemputnya kembali kepada Yang Esa. Mungkin esok, minggu depan dan mungkin juga tahun hadapan. Memikirkan hal itu, dia dirundung kesedihan. Dia sedih kerana andainya telah ditakdirkan dia akan pergi dalam tempoh terdekat ini, dia sudah tidak dapat sujud kepada Allah Ta'ala, dia tidak lagi dapat berbakti kepada kedua-dua ibu bapanya. Dia juga takut apabila memikirkan adakah cukup amalannya selama ini untuk dihadapkan di hadapan Allah. "Ya Allah kau ampunkanlah segala dosa ibu bapaku, dosa-dosaku, dosa seluruh ahli keluargaku, dosa guru-guruku, dosa sahabat-sahabatku, dosa muslimin serta muslimat. Kau matikanlah aku dalam iman dan Islam," detik hatinya.

********************

"Assalamualaikum, Irna," hati Irna berdegup kencang sebaik sahaja menerima panggilan ibu Iman.

"Waalaikumussalam, ibu, kenapa ibu, Iman sakit ke?" Irna semakin gelisah apabila terdengar esakan halus dari corong telefon. Dia tahu ibu sedang menangis.

"Irna, boleh tak Irna datang ke rumah ibu sekarang. Iman, nazak,"

Irna segera bertolak ke rumah Iman bersama-sama kedua-dua ibu bapanya. Perjalanan selama sejam lebih itu dirasakan bertahun lamanya. Air matanya tidak berhenti mengalir. Sedaya upaya dia menahan perasaan agar bersabar tetapi dia tidak mampu. Dia tidak mampu untuk memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku. Dia masih ingat pandangan Iman sewaktu hari terakhir persekolahan sebelum cuti penggal bermula. Pandangan Iman tika itu memang sukar untuk dimengertikan. Hanya air mata duka yang mengiringi perpisahan mereka saat itu. Kata-kata maaf yang diungkapkan oleh Iman juga masih segar di ingatannya.

"Irna, maafkan Iman ye. Terima kasih sebab sudi jadi sahabat baik Iman. Irna mesti ingat, walau apapun yang berlaku, Irna mesti tabah. Terima takdir Allah seadanya, dan satu lagi, jangan biarkan hubungan Irna dengan ayah dan ibu terputus seandainya Iman pergi dulu. Satu perkara yang Irna kena ingat, Iman sayang Irna, sayang sangat-sangat,"

Irna tidak dapat menahan perasaannya. Dia menangis lagi. Kata-kata Iman tempoh hari betul-betul mengganggu fikirannya.

*****************

"Assalamualaikum," dengan lemah salam diucapkan. Langkah Irna lemah tidak bermaya. Kedatangannya disambut dengan tangisan dan pelukan ibu Iman. Dia dapat merasakan betapa eratnya pelukan itu. Hatinya pedih, jantungnya pula seakan berhenti berdegup.

Hanya Allah sahaja yang tahu perasaannya apabila melihat seorang sahabat yang selama ini berkongsi susah senang dan suka duka bersamanya sedang terbujur kaku. Fikirannya ketika itu kosong. Bukan senang untuk menerima kenyataan itu. Kenyataan yang ternyata pahit untuk ditelan. Namun, dia pasrah dan redha dengan takdir Allah. Sebagai hamba Allah yang beriman, dia mesti kuat dan bersabar menghadapi ujian hidup. Kata-kata arwah Iman kembali menerpa ingatannya.

"Irna, maafkan Iman ye. Terima kasih sebab sudi jadi sahabat baik Iman. Irna mesti ingat, walau apapun yang berlaku, Irna mesti tabah. Terima takdir Allah seadanya, dan satu lagi, jangan biarkan hubungan Irna dengan ayah dan ibu terputus seandainya Iman pergi dulu. Satu perkara yang Irna kena ingat, Iman sayang Irna, sayang sangat-sangat.

"Insya-Allah Iman. Irna mesti kuat. Irna mesti tabah dan Irna pun sayangkan Iman. Sayang sangat-sangat," getus hatinya.

************

Arwah Iman sudahpun selamat dikebumikan. Perasaan sedih masih setia bertamu di hatinya. Dia masih ingat betapa susahnya untuk mencium dahi arwah Iman gara-gara air matanya yang tidak henti-henti mengalir. 'Sejuk'. Itulah yang dirasakannya  sewaktu mencium dahi arwah buat kali terakhir.

"Irna," dia tersedar dari lamunan. Ibu Iman di sebelah dipandang sayu. Apalah sangat kesedihannya jika dibandingkan dengan kesedihan seorang ibu yang kehilangan anaknya. Irna dapat melihat tubir mata ibu Iman masih digenangi air jernih.

"Ya ibu," tangan si ibu digengamnya seerat mungkin.

"Ibu jumpa surat ni atas meja arwah, untuk Irna," dalam sebak ibu Iman menuturkan kata-kata.

Tangannya terketar-ketar semasa membuka lipatan surat itu. Surat terakhir daripada seorang sahabat. Tanpa dapat ditahan, kolam matanya pecah lagi. Bagaikan baru semalam mereka dipertemukan, kenangan mereka bersama masih segar di ingatan

Buat sahabatku Irna
Assalamualaikum,Iman bersyukur sangat-sangat sebab Allah telah mempertemukan kita, walaupun pertemuan kita hanya sekejap cuma tapi Iman tetap berterima kasih kepada Allah sebab melalui Irna, Iman berpeluang mengenali erti sahabat sejati Irna. Maafkan Iman atas segala kesilapan yang pernah Iman lakukan sepanjang persahabatan kita. Sebenarnya Iman pun dah tak tahu nak tulis apa. Kepala Iman sakit sangat ni tapi Iman tak nak tinggalkan Irna tanpa kata. Kalau boleh Iman nak sangat jumpa Irna. Takut nanti tak sempat. Mungkin sekarang ni Iman dah dipanggil menghadap Ilahi. Kalau boleh, Iman nak tengok Irna sebelum kita berpisah buat selama-lamanya tapi Iman juga nak minta maaf kalau Irna hanya sempat tengok jasad kaku Iman. Bukan Iman nak tapi ingatlah mati itu pasti bagi setiap manusia. Iman harap, Irna akan bersabar. Tolong doakan Iman di sana ye. Sebenarnya, Iman takut sangat Irna. Iman takut mati. Iman takut amalan Iman tak cukup tapi apakan daya Iman, Iman dah tak boleh nak buat apa kalau dah takdir Iman akan pergi dulu. Cuma Iman harap Irna teruskan impian kita untuk jadi wanita solehah. Gunakanlah masa dengan sebaik mungkin. Laksanakanlah ibadah dan perintah Allah selagi masa masih ada sebab kita tak tahu bila sebenarnya ajal maut kita. Ingatlah sahabatku, kematian tidak akan menunggu sehingga seseorang itu bersedia untuk menghadapinya.
Buat tatapan Irna, Iman sempat tuliskan lirik lagu nasyid yang kita suka. Hayatilah setiap bait kata-kata yang ada pada lirik ni. Akhir kata doakanlah Iman di sana. Wassalam.

Ketika diri mencari sinar
Secebis cahaya menerangi laluan
Ada kalanya langkahku tersasar
Tersungkur di lembah kegelapan

Bagaikan terdengar bisikan rindu
Mengalun kalimah menyapa keinsafan
Kehadiranmu menyentuh kalbu
Menyalakan obor pengharapan

Tika ku kealpaan
Kau bisikkan bicara keinsafan
Kau beri kekuatan, tika aku
Diuji dengan dugaan

Saat ku kehilangan keyakinan
Kau nyalakan harapan
Saat ku meragukan keampunan Tuhan
Kau katakan rahmat-Nya mengatasi segala

Menitis air mataku keharuan
Kepada sebuah pertemuan
Kehadiranmu mendamaikan
Hati yang dahulu keresahan

Cinta yang semakin kesamaran
Kau gilap cahaya kebahagiaan
Tulus keikhlasan menjadi ikatan
Dengan restu kasih-Mu, oh Tuhan

Titisan air mata menyubur cinta
Dan rindu pun berbunga
Mekar tidak pernah layu
Damainya hati
Yang dulu resah keliru

Cintaku takkan pudar diuji dugaan
Mengharum dalam harapan
Moga kan kesampaian kepada Tuhan
Lantaran diri hamba kerdil dan hina

Syukur sungguh di hati ini
Dikurniakan teman sejati
Menunjuk jalan dekati-Nya
Tika diri dalam kebuntuan

Betapa aku menghargai
Kejujuran yang kau beri
Mengajarku mengenal erti
Cinta hakiki yang abadi

Tiada yang menjadi impian
Selain rahmat kasih-Mu Tuhan
Yang terbias pada ketulusan
Sekeping hati seorang insan
Bernama teman

Surat itu dilipat kembali. Matanya basah dengan air mata.

"Ya Allah, kau tempatkanlah sahabatku dalam kalangan orang-orang yang beriman. Amin," doanya di dalam hati."Semoga Syurga menjadi milikmu, sahabatku. Walaupun pertemuan kita di dunia fana ini telah berakhir, Irna berdoa agar kita dipertemukan kembali di Jannah-Nya. Amin."

Diari Sang Ayah


Diari Sang Ayah

26 Januari 1992.
Hari ini, menjadi titik indah buatku. Hadirnya cahaya mata ini mengutuhkan lagi hubungan kami sebagai sepasang suami isteri. Telah lama ku tunggu saat ini menjadi kenyataan, terima kasih tuhan, aku teramat mensyukuri nikmatmu. akan ku sujud syukur sebagai tanda syukur padaMu, yang telah mengabuli doa kami. terima kasih Tuhan, akan ku jaga sang anak ini, dengan sepenuh kasih cinta. Akan ku lengkapkannya dengan agamaMu, agar cintanya hanya kepada agama, agar menjadi muslimah sejati.

26 Januari 1995.
Happy birthday sayang! semoga kamu membesar dengan penuh rasa cinta, ibumu senantiasa tersenyum melihat telatahmu yang baru belajar berdiri. Ternyata kamu sangat pintar dan cepat belajar, alhamdulillah... Semoga kamu menjadi pesona ibu dan ayah.

Januari 1998.
Hari ini merupakan hari pertama kamu melangkahkan kaki ke alam persekolahan. Ayah menghantarmu sehingga ke kelas. Kamu menangis di kelas, meminta ayah tunggu. Sayang, janganlah bimbang, di sini  kamu akan memperoleh ramai rakan dan menimba ilmu dari guru. Ayah yakin kamu akan gembira di sini.

Januari 1999.
Pertama kali melangkahkan kaki ke sekolah rendah, ayah sudah merapikan bajumu, tudung dan perkakasan sekolah, sedang ibumu sedari pagi sibuk menyiapkan sarapan dan juga bekalan. Sebentar lagi ayah akan mengejutkan kamu dari tidur biarlah ayah menatap wajah cahaya mata kesayangan ayah ini dahulu, untuk beberapa saat. Sangat comel anak ayah semasa tidur.

November 2003.
Hari ini, kamu pulang dengan senyuman, di tangan kananmu tergenggam erat sekeping slip, dengan mata yang berkaca, kamu berlari lari lalu memeluk erat ibu,dan mencium tangan ayah. Perasaan sebak timbul di hati.sambil mengucapkan ''terima kasih ayah, ibu adik berjanji akan belajar dengan bersungguh sungguh lagi,". Tahniah anakku, tidak sia-sia usaha kamu selama ini. Slip peperiksaan yang tertera huruf A berdarab lima menjadi bukti kesungguhanmu menimba ilmu, teruskan usahamu wahai anak.

Januari 2004.
Alam persekolahan sememangnya indah dan mencabar, sekolah menengah adalah perjalanan seterusnya untukmu berjaya. Teruskanlah perjuanganmu. Ayah bangga mempunyai anak sepertimu, menjagamu, melihatmu tersenyum riang, melihatmu dewasa, menjadi sesuatu yang takkan pernah ayah menyesal..:)

27 Januari 2007.
Hari ini, hati ayah sedikit runsing. Ayah terjumpa surat-surat cinta dari dalam beg sekolahmu, dan sms di telefon bimbitmu memberitahu ayah, bahawa anak ayah sudah pandai bermain cinta. Sememangnya cinta adalah pemberian Tuhan. Tetapi ketahuillah anak, usiamu belum mengizinkanmu untuk ini. Ayah meletakkannya kembali, demi tuhan, ayah sangat risau. Ayah akan cuba sebaik mungkin untuk meluahkan kepadamu, sedewasa mungkin. Ayah tahu kamu kini seorang remaja, ingin dilayan seperti seorang dewasa, ayah faham.

11 p.m.
Ayah terkejut dengan perlakuanmu. Ayah cuba untuk menerangkan kepadamu hal yang sebenar, bukan perasaanmu itu dilarang, namun waktu saja belum tepat untuk merasakan semua, tetapi kamu meninggikan suara, bila ayah menasihatimu, kamu menengking ibumu. Ibumu sedari tadi menangis, lalu tertidur dalam tangisannya. Anakku, ayah sedikit kecewa dengan sikapmu, ketahuilah, kami yang menjaga makan minummu sedari kecil, kamilah yang menyayangimu sepenuh hati, bukan dia.

28 Januari 2009.
Sekali lagi air mata ibumu tumpah dengan sikapmu. Pagi tadi ibu membersihkan bilikmu, agar nampak kemas, sedang ibumu menyapu,i bu terjumpa sebuah beg berwarna ungu. Ibu membuka zip beg tersebut kerana merasa curiga., langkah terkejutnya ibumu, pakaian-pakaian di dalam beg tersebut bukanlah hasil pembelian ibu mahupun ayah. Skirt pendek dengan warna yang pelbagai, baju tanpa lengan, seluar jeans ketat, dan alat kontrasepsi! UNTUK APAKAH ITU WAHAI ANAK! dan tanpa rasa bersalah pula kau mengakui pakaian itu hak mutlak kamu. Bukankah ayah memberikanmu didikan agama yang sempurna?
Lalu siapakah yang mengaji di hadapan ayah dari muqaddam sehingga khatam al quran? Siapakah yang menjadi ma\mum ayah selepas ibu? Siapa pula yang ayah hantar ke sekolah agama setiap petang? Siapa duhai anak? Siapa? Ibumu pengsan selepas solat maghrib tadi. Sedang engkau hilang entah ke mana, curi keluar, tanpa kami sedari.

26 Februari 2010.
Ibarat dipanah petir hati ayah dan ibu apabila mendengar pengakuanmu, "ayah,ibu...adik hamil" ya Allah, apalah dosa-dosaku ya Allah?!. Beratnya beban yang kau beri. Gelap pandangan ayah mendengarkan itu, ibumu? menangis, meraung, memikirkan cahaya matanya yang sudah jauh dari agama. Kurangkah didikan kami?. Kurangkah belaian kasih sayang kami?. Setelah kami tatang kau ibarat minyak yang penuh, lalu apakah jenis timbalan yang kau beri duhai anak?. Di manakah janjimu dahulu wahai sayang?. Janjimu yang akan belajar bersungguh-sungguh?. Sedang rakan-rakanmu pulang dengan membawa senyuman sambil menggenggam slip peperiksaan dan kau pulang membawa keputusan hamil dari hospital?. Adakah ini cara kau membalas jasa ayah dan ibumu?. Apakah ini wahai anakku. Kau melukakan hati ibu, mengguris hati ayah!. Terbayang di fikiran saat kau dijamah buaya laknat tersebut, cukup membuat hati ayah remuk, hancur, berkecai!.
Apakah kau terlupakan agamamu?. Andai kau tidak cintakan ayah dan ibumu lagi, cintailah agamu duhai anak. Kamu punya tuhan. Tuhan yang maha melihat setiap gerak gerimu! terlupakah kau pada zat yang satu itu? lalu apakah yang akan ayah dan ibu jawab, saat diasak pertanyaan dari sang Tuhan, tentang kegagalan kami mendidikmu?. Tentang kealpaan kami dalam mendidikmu?.
Tahukah kamu wahai anak, perbuatanmu bakal menghantar ibu serta ayahmu ke neraka?. Kau campakkan kami ke dalam lubang yang tersedia panasnya sejak penciptaan bumi, dengan menggunakan tangan-tanganmu sendiri!. Kau relakan jasad ibu dan ayah kau dibantai oleh Malik, si penjaga neraka. Kau biarkan kami meraung-raung dijilat api, dan kau hanya melihat kami disengat binatang-binatang bisa!. Sampainya hatimu. kenapa tidak, engkau ambil sahaja pisau, tusuk ayahmu ini, tuangkanlah racun, beri sahaja ibumu minum! lebih rela kami dibunuh, dari menelan pahitnya kenyataan.
Dan hari-hari yang kami lalui selepas itu, tidak seindah saat mengazankanmu di telinga kanan,dan iqamah di telinga kiri..
Anak menangis, meraung-raung menyesali diri yang kotor dan hina, menyesali diri yang tidak pernah mengenal erti syukur, dikurnai ayah yang sempurna. Namun, tangisan tiada lagi berguna, kerana sang ayah bakal tidur lena. Anak hanya mampu menatap wajah ayahnya yang pucat, untuk kali terakhir, sebelum kembali dikambus tanah...
Peringatan buat aku dan semua, sayangilah ibu dan ayah dan jangan pilih jalan hitam!.
"(Malaikat-malaikat) yang memikul 'arsy dan malaikat yang berada di sekelilingnya bertasbih memuji Tuhannya dan mereka beriman kepada-Nya serta memintakan ampun bagi orang-orang yang beriman (seraya mengucapkan):
"Ya Tuhan kami, rahmat dan ilmu Engkau meliputi segala sesuatu, maka berilah ampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan Engkau dan peliharalah mereka dari siksaan neraka yang bernyala-nyala, ya Tuhan kami, dan masukkanlah mereka kedalam surga 'Adn yang telah Engkau janjikan kepada mereka dan orang-orang yang saleh di antara bapak -bapak mereka, dan istri-istri mereka, dan keturunan mereka semua. Sesungguhnya Engkaulah Yang maha Perkasa lagi Maha Bijaksana, dan peliharalah mereka dari (balasan) kejahatan. Dan orang-orang yang Engkau pelihara dari (pembalasan?) kejahatan pada hari itu maka sesungguhnya telah Engkau anugerahkan rahmat kepadanya dan itulah kemenangan yang besar." (QS.Ghaafir: 7-9).
Wallahualam.