Friday 20 May 2016

*MAAF*

Assalamualaikum...

Alhamdulillah, Ramadhan semakin menghampiri dan semoga Ramadhan kali ini memberi Hikmah yang tak ternilai buat kita semua. Amiin.

Hari ini, terdetik hati untuk menulis..

"MAAF"

Dalam meniti liku-liku kehidupan yang sedia kita ketahui penuh dengan cubaan dan dugaan yang terkadang luar dari kemampuan kita sebagai seorang hamba ALLAH yang lemah. Dua perkara yang sangat susah untuk dilaksanakan sebagai seorang manusia iaitu :

  1. Mengakui kesalahan diri dan memohon kemaafan dari orang yang kita lukai.
  2. Memberi kemaafan kepada orang yang melukakan hati kita.

Tanpa perlu dibahas panjang mahupun dinafikan, inilah hakikatnya yang perlu kita akui. Allah kurniakan kita perasaan. Perasaan marah, gembira, sedih, pedih, gusar dan banyak lagi. Tapi Allah juga telah sedia ada memberi kita petunjuk untuk menguruskannya tapi sayang tidak semua mampu mengikutinya dan ya, itu adalah perkara biasa bila mana kita manusia biasa yang tak pernah lepas dari berbuat silap. Akan tetapi, jangan dilupa bahawa kita juga punya akal yang membezakan kita dengan haiwan. Wahai hamba Allah, iya, benar kita ini manusia yang lemah tapi apabila kamu tersedar, perbaikilah ia kepada yang lebih baik.

"NAFSU"

Sifat ego, marah itu adalah nafsu. Seringkali kita mendengar, wahai manusia, hendaklah kamu memimpin nafsu kamu ke arah kebaikan dan bukan nafsu yang memimpin kamu dalam menjalani kehidupan ini.

Apabila tersedar kamu sudahpun melampaui batas kamu sebagai seorang manusia terhadap manusia yang lain, mohonlah kemaafan kerana sesungguhnya insan lain juga sama seperti kamu yang punya perasaan. Letakkan diri kamu di tempat orang yang kamu tempiaskan kemarahan kamu supaya kamu dapat mengelakkan perkara yang lebih buruk terjadi. 

Jangan menyalahkan kelemahan yang ada pada kamu sebagai seorang manusia sedangkan Allah telahpun mengurniakan manusia itu AKAL agar manusia mampu membezakan mana yang HAQ dan mana yang BATIL.

Allah SWT berfirman dalam surah al-A’raf ayat 199 yang bermaksud,
“Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah daripada orang yang bodoh.”
Begitu juga dalam firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 263 bermaksud,
“Pemberian yang baik dan pemberian maaf adalah lebih baik daripada sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima). Allah Maha Kaya Lagi Maha Penyantun.”

INGIN JADI MULIA?

Marilah kita mengamalkan amalan memberi maaf. Bukan sukar, tapi ini bergantung kepada diri kita sendiri. Jom tambah semangat untuk mudah memberi maaf. Mari lihat pada hadis Nabi SAW yang bermaksud,

“Tidak akan berkurang sedekah akan harta, tidak akan bertambah atas seorang hamba dengan sebab memberi kemaafan melainkan bertambah kemuliaan dan tidak akan tawaduk seseorang terhadap Allah melainkan Allah akan mengangkat darjatnya.” – Riwayat Muslim.

Betapa besarnya kemuliaan yang diberikan dan betapa tingginya darjat seseorang yang memberikan kemaafan kepada orang lain, sehinggakan Rasulullah menyatakan secara pakej, kelebihan orang yang memberikan kemaafan kepada orang lain. Alangkah beruntungnya seseorang yang memiliki sifat kemaafan sebegini. Alangkah mudahnya hubungannya dengan manusia bila mudah memberi maaf, ditambah mudahnya hubungannya dengan Allah SWT, Tuhan Pencipta Alam. 

Sabda Rasulullah SAW:“Wahai ‘Uqbah, mahukah engkau aku beritahu akhlak penghuni dunia dan akhirat yang paling mulia? Iaitu, menyambung silaturahim dengan orang yang memutuskannya, memberi kepada orang yang tidak mahu dan tidak pernah memberimu, memaafkan orang yang pernah menzalimi dan menganiayamu.”(Hadis Riwayat Hakim)
Rasulullah s.a.w bersabda:
Siapa yang memberi kemaafan (ke atas kesalahan orang), padahal ia mampu bertindak balas(di atas perbuatan tersebut), Allah akan memaafkannya, dihari yang susah” (Riwayat Thobroni)
Hari yang susah itu ialah Hari Kiamat yang juga dikenali sebagai hari orang bermuka masam:
Al-Insan [10] Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Dia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: Masam berkerut-kerut..
Orang yang “mampu bertindak balas” iaitu berkuasa dan mempunyai keupayaan untuk membalas kejahatan yang dilakukan, seperti dijelaskan dalam Al-Quran
Ali-Imran [134]……….dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang
Allah akan memaafkannya dan diberikan Syurga:
Ali-Imran [136] Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.
Rasulullah s.a.w bersabda: Berakhlaklah kamu dengan akhlak Allah“. Tirulah sifat pemaaf Allah subhanahu wa ta’ala.
KEUTAMAAN MEMBERI KEMAAFAN
Sikap pemaaf merupakan ciri-ciri orang yang bertaqwa
Orang yang bertaqwa adalah mereka yang mengerjakan segala perintah Allah S.W.T. dan meninggalkan segala larangan-Nya. Allah S.W.T. telah mengkategorikan mereka yang pemaaf termasuk dalam golongan muttaqin (orang yang bertaqwa). Firman-Nya:
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik. (Aali Imraan (3) : 133-134)
Allah S.W.T. mengampunkan mereka yang pemaaf serta menempatkan mereka di syurga.
Dari ayat di atas ini juga dapat kita membuat kesimpulan bahawa mereka yang pemaaf mudah mendapat keampunan Allah S.W.T. dan akan ditempatkan di syurga. Di ayat yang lain Allah ‘Azza wa Jalla berfirman:

… dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
 (al-Nuur (24) : 22)

Sikap pemaaf merupakan akhlak yang mulia yang dituntut oleh syarak
Sikap mudah memaafkan orang lain merupakan suatu akhlak yang mulia lagi terpuji dan ianya tergolong dalam amalan yang amat digalakkan perlaksanaannya oleh Allah S.W.T.. Firman-Nya:
Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya). (al-Syuura (42) : 43)
Allah S.W.T. mengasihi mereka yang pemaaf
Allah S.W.T. mengasihi mereka yang mudah memaafkan kesalahan orang lain. Firman-Nya:
… dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik. (Aali Imraan (3) : 134)
Tentu sekali bagi mereka yang dikasihi oleh Allah S.W.T. akan mudah mendapat rahmat serta keampunan-Nya.
Demikianlah beberapa keutamaan yang sempat penulis ketengahkan untuk menunjukkan betapa agungnya sikap mudah memaafkan serta melupakan kesalahan orang lain terhadap kita.
P/S : Memohon kemaafan dan meberi kemaafan bukanlah suatu kerugian buat diri kita bahkan itulah aset kita di akhirat kelak, yang menentukan kita kaya ataupun miskin. Pertahankan ego tak mampu membawa kita ke mana-mana kerana ia hanya akan memakan diri kita kelak. Fikir-fikirkan ya ; )

No comments:

Post a Comment