Suaranya kali
ini sedikit sebak bercampur marah. Along terus membatukan diri. Tiada
sepatah kata pun yang keluar dari mulutnya. Seketika dia melihat si ibu
berlalu pergi dan kembali semula dengan rotan di tangannya. Kali ini
darah Along mula menderau. Dia berdoa dalam hati agar ibu tidak
memukulnya lagi seperti selalu. “Sekarang kau cakap, kenapa kau
bergaduh tadi? Kenapa kau pukul anak pengetua tu? Cakap Along, cakap!”
Jerkah ibu. Along semakin berdebar-debar namun dia tidak dapat
berkata-kata. Suaranya bagai tersekat di kerongkong. Malah, dia juga
tidak tahu bagaimana hendak menceritakan hal sebenar. Si ibu semakin
bengang. “ Jadi betul la kau yang mulakan pergaduhan ye!? Nanti kau,
suka sangat cari penyakitkan, sekarang nah, rasakan!” Si ibu merotan
Along berkali-kali dan berkali-kali jugaklah Along menjerit kesakitan.
“Sakit
bu…sakit….maafkan Along bu, Along janji tak buat lagi….Bu, jangan
pukul bu…sakit bu…” Along meraung meminta belas si ibu agar tidak
merotannya lagi. “Tau sakit ye, kau bergaduh kat sekolah tak rasa
sakit?” Balas ibu lagi. Kali ini semakin kuat pukulan si ibu menyirat
tubuh Along yang kurus itu. “Bu…ampunkan Along bu…bukan Along yang
mulakan…bukan Along….bu, sakit bu..!!”, rayu Along dengan suara yang
tersekat-sekat menahan pedih. Along memaut kaki si ibu. Berkali-kali dia
memohon maaf daripada ibunya namun siratan rotan tetap mengenai
tubuhnya. Along hanya mampu berdoa. Dia tidak berdaya lagi menahan
tangisnya. Tangis bukan kerana sakitnya dirotan, tapi kerana memikirkan
tidak jemukah si ibu merotannya setiap hari. Setelah hatinya puas, si
ibu mula berhenti merotan Along. Tangan Along yang masih memaut kakinya
itu di tepis kasar. Along menatap mata ibu. Ada manik-manik kaca yang
bersinar di kelopak mata si ibu. Along memandang dengan sayu. Hatinya
sedih kerana telah membuatkan ibunya menangis lagi kerananya.
Malam
itu, Along berjaga sepanjang malam. Entah mengapa matanya tidak dapat
dilelapkan. Dia asyik teringatkan peristiwa dirotan ibu petang tadi.
Begitulah yang berlaku apabila ibu marahkannya. Tapi kali ini marah ibu
sangat memuncak. Mungkin kerana dia menumbuk anak pengetua sewaktu di
sekolah tadi menyebabkan pengetua hilang sabar dan memanggil ibunya ke
sekolah untuk membuat aduan kesekian kalinya. Sewaktu di bilik pengetua,
Along sempat menjeling ibu di sebelah. Namun, dia tidak diberi
kesempatan untuk bersuara. Malah, semua kesalahan itu di dilemparkan
kepadanya seorang. Si Malik anak pengetua itu bebas seolah-olah sedikit
pun tidak bersalah dalam hal ini.
Along mengesat sisa-sisa air
mata yang masih bertakung di kelopak matanya. Dia berlalu ke meja tulis
mencapai minyak sapu lalu disapukan pada bekas luka yang berbirat di
tubuhnya dek rotanan ibu tadi. Perlahan-lahan dia menyapu ubat namun
masih tetap terasa pedihnya. Walaupun sudah biasa dirotan, namun tidak
seteruk kali ini. Along merebahkan badannya. Dia cuba memejamkan mata
namun masih tidak mahu lelap. Seketika wajah ibu menjelma diruang
ingatannya. Wajah ibu suatu ketika dahulu sangat mendamaikan pada
pandangan matanya. Tetapi, sejak dia gagal dalam SPM, kedamaian itu
semakin pudar dan hanya kelihatan biasa dan kebencian di wajah tua itu.
Apa yang dibuat serba tidak kena pada mata ibu. Along sedar, dia telah
mengecewakan hati ibu dahulu kerana mendapat keputusan yang corot
dalam SPM. Tetapi Along tidak pernah ambil hati dengan sikap ibu walau
adakalanya kata-kata orang tua itu menyakiti hatinya. Along sayang pada
ibu. Dialah satu-satunya ibu yang Along ada walaupun kasih ibu tidak
semekar dahulu lagi. Along mahu meminta maaf. Dia tidak mahu menjadi
anak derhaka. Fikirannya terlalu cacamarba, dan perasaannya pula
semakin resah gelisah. Akhirnya, dalam kelelahan melayani perasaan,
Along terlelap juga.
Seminggu selepas peristiwa itu, si
ibu masih tidak mahu bercakap dengannya. Jika ditanya, hanya sepatah
dijawab ibu. Itupun acuh tidak acuh sahaja. Pulang dari sekolah, Along
terus menuju ke dapur. Dia mencangak mencari ibu kalau-kalau orang
kesayangannya itu ada di situ. Along tersenyum memandang ibu yang
terbongkok-bongkok mengambil sudu di bawah para dan kemudian mencacap
makanan yang sedang dimasak itu. Dia nekad mahu menolong. Mudah-mudahan
usahanya kali ini berjaya mengambil hati ibu. Namun, belum sempat dia
melangkah ke dapur, adik perempuannya yang baru pulang daripada mengaji
terus meluru ke arah ibu. Along terperanjat dan cuba berselindung di
sebalik pintu sambil memerhatikan mereka.
“ Ibu..ibu
masak apa ni? Banyaknya lauk, ibu nak buat kenduri ye!?” Tanya Atih
kehairanan. Dia tidak pernah melihat ibunya memasak makanan yang
pelbagai jenis seperti itu. Semuanya enak-enak belaka. Si ibu yang
lincah menghiris sayur hanya tersenyum melihat keletah anak bongsunya
itu. Sementara Along disebalik pintu terus memerhatikan mereka sambil
memasang telinganya. “Ibu, Atih nak rasa ayam ni satu boleh?” “ Eh
jangan, nanti dulu. Ibu tau Atih lapar, tapi tunggulah Kak Ngah dengan
Alang balik dulu. Nanti kita makan sekali. Pergi naik atas mandi dan
tukar baju dulu ye!”, si ibu bersuara lembut. Along menarik nafas
panjang dan melepaskannya perlahan. ‘anak-anak kesayangan ibu nak balik
rupanya…’ bisik hati kecil Along. “Kak Ngah dengan Alang nak balik ke
ibu?”, soalnya lagi masih belum berganjak dari dapur. Si ibu mengangguk
sambil tersenyum. Di wajahnya jelas menampakkan kebahagiaan. “Oooo
patutlah ibu masak lauk banyak-banyak. Mmm bu, tapi Atih pelik la.
Kenapa bila Along balik, ibu tak masak macam ni pun?”. Along terkejut
mendengar soalan Atih. Namun dia ingin sekali tahu apa jawapan dari
ibunya. “Along kan hari-hari balik rumah? Kak Ngah dengan Alang lain,
diorang kan duduk asrama, balik pun sebulan sekali ja!”, terang si ibu.
“Tapi, ibu tak penah masak lauk macam ni dekat Along pun..”, soal Atih
lagi. Dahinya sedikit berkerut dek kehairanan.
Along
mula terasa sebak. Dia mengakui kebenaran kata-kata adiknya itu namun
dia tidak mahu ada perasaan dendam atau marah walau secalit pun pada
ibu yang sangat disayanginya. “Dah tu, pergi mandi cepat. Kejap lagi
kita pergi ambil Kak Ngah dengan Alang dekat stesen bas.” , arah ibu.
Dia tidak mahu Atih mengganggu kerja-kerjanya di dapur dengan menyoal
yang bukan-bukan. Malah ibu juga tidak senang jika Atih terus bercakap
tentang Along. Pada ibu, Along anak yang derhaka yang selalu menyakiti
hatinya. Apa yang dikata tidak pernah didengarnya. Selalu pula membuat
hal di sekolah mahupun di rumah. Disebabkan itulah ibu semakin hilang
perhatian pada Along dek kerana marah dan kecewanya.
Selepas ibu
dan Atih keluar, Along juga turut keluar. Dia menuju ke Pusat Bandar
sambil jalan-jalan buat menghilangkan tekanannya. Tiba di satu kedai,
kakinya tiba-tiba berhenti melangkah. Matanya terpaku pada sepasang
jubah putih berbunga ungu yang di lengkapi dengan tudung bermanik.
‘Cantiknya, kalau ibu pakai mesti lawa ni….’ Dia bermonolog sendiri.
Along melangkah masuk ke dalam kedai itu. Sedang dia membelek-belek
jubah itu, bahunya tiba-tiba disentuh seseorang. Dia segera menoleh.
Rupa-rupanya itu Fariz, sahabatnya. “La…kau ke, apa kau buat kat
sini?”, tanya Along ingin tahu sambil bersalaman dengan Fariz. “Aku
tolong jaga butik kakak aku. Kau pulak buat apa kat sini?”, soalnya
pula. “Aku tak de buat apa-apa, cuma nak tengok-tengok baju ni. Aku
ingat nak kasi mak aku!”, jelas Along jujur. “waa…bagus la kau ni Azam.
Kalau kau nak beli aku bagi less 50%. Macammana?” Terlopong mulut
Along mendengar tawaran Fariz itu. “Betul ke ni Riz? Nanti marah kakak
kau!”, Along meminta kepastian. “Untuk kawan baik aku, kakak aku mesti
bagi punya!”, balas Fariz meyakinkannya. “Tapi aku kena beli minggu
depan la. Aku tak cukup duit sekarang ni.” Cerita Along agak keseganan.
Fariz hanya menepuk mahunya sambil tersenyum. “Kau ambik dulu, lepas
tu kau bayar sikit-sikit.” Kata Fariz . Along hanya menggelengkan
kepala tanda tidak setuju. Dia tidak mahu berhutang begitu. Jika ibunya
tahu, mesti dia dimarahi silap-silap dipukul lagi. “Dekat kau ada
berapa ringgit sekarang ni?”, soal Fariz yang benar-benar ingin
membantu sahabatnya itu. Along menyeluk saku seluarnya dan mengeluarkan
dompet berwarna hitam yang semakin lusuh itu. “Tak sampai sepuluh
ringgit pun Riz, tak pe lah, aku datang beli minggu depan. Kau jangan
jual dulu baju ni tau!”, pesan Along bersungguh-sungguh. Fariz hanya
mengangguk senyum.
Hari semakin lewat. Jarum pendek sudah
melangkaui nombor tujuh. Setelah tiba, kelihatan Angah dan Alang sudah
berada di dalam rumah. Mereka sedang rancak berbual dengan ibu di ruang
tamu. Dia menoleh ke arah mereka seketika kemudian menuju ke dapur.
Perutnya terasa lapar sekali kerana sejak pulang dari sekolah petang
tadi dia belum makan lagi. Penutup makanan diselak. Syukur masih ada
sisa lauk-pauk yang ibu masak tadi bersama sepinggan nasi di atas meja.
Tanpa berlengah dia terus makan sambil ditemani Si Tomei, kucing
kesayangan arwah ayahnya. “Baru nak balik waktu ni? Buat hal apa lagi
kat luar tu?”, soalan ibu yang bernada sindir itu tiba-tiba
membantutkannya daripada menghabiskan sisa makanan di dalam pinggan.
“Kenapa tak makan kat luar ja? Tau pulak, bila lapar nak balik rumah!”,
leter ibu lagi. Along hanya diam. Dia terus berusaha mengukir senyum
dan membuat muka selamber seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.
Tiba-tiba Angah dan Alang menghampirinya di meja makan. Mereka berdiri
di sisi ibu yang masih memandang ke arahnya seperti tidak berpuas hati.
“Along ni teruk tau. Suka buat ibu susah hati. Kerana Along, ibu kena
marah dengan pengetua tu.” Marah Angah, adik perempuannya yang sedang
belajar di MRSM. Along mendiamkan diri. Diikutkan hati, mahu saja dia
menjawab kata-kata adiknya itu tetapi melihat kelibat ibu yang masih di
situ, dia mengambil jalan untuk membisu sahaja. “Along! Kalau tak suka
belajar, berhenti je la. Buat je kerja lain yang berfaedah daripada
menghabiskan duit ibu", sampuk Alang, adik lelakinya yang menuntut di
sekolah berasrama penuh. Kali ini kesabarannya benar-benar tercabar.
Hatinya semakin terluka melihat sikap mereka semua. Dia tahu, pasti ibu
mengadu pada mereka. Along mengangkat mukanya memandang wajah ibu.
Wajah tua si ibu masam mencuka. Along tidak tahan lagi. Dia segera
mencuci tangan dan meluru ke biliknya.
Perasaannya jadi
kacau. Fikirannya bercelaru. Hatinya pula jadi tidak keruan memikirkan
kata-kata mereka. Along sedar, kalau dia menjawab, pasti ibu akan
semakin membencinya. Along nekad, esok pagi-pagi, dia akan tinggalkan
rumah. Dia akan mencari kerja di Bandar. Kebetulan cuti sekolah selama
seminggu bermula esok. Seperti yang dinekadkan, pagi itu selesai solat
subuh, Along terus bersiap-siap dengan membawa beg sekolah berisi
pakaian, Along keluar daripada rumah tanpa ucapan selamat. Dia sekadar
menyelitkan nota buat si ibu menyatakan bahawa dia mengikuti program
sekolah berkhemah di hutan selama seminggu. Niatnya sekadar mahu
mencari ketenangan selama beberapa hari justeru dia terpaksa berbohong
agar ibu tidak bimbang dengan tindakannya itu. Along menunggang
motorsikalnya terus ke Pusat Bandar untuk mencari pekerjaan.
Nasib
menyebelahinya, tengah hari itu, dia diterima bekerja dengan Abang Joe
sebagai pembantu di bengkel membaiki motorsikal dengan upah lima belas
ringgit sehari, dia sudah rasa bersyukur dan gembira. Gembira kerana
tidak lama lagi, dia dapat membeli jubah untuk ibu. Hari ini hari ke
empat Along keluar daripada rumah. Si ibu sedikit gelisah memikirkan
apa yang dilakukan Along di luar. Dia juga berasa agak rindu dengan
Along. Entah mengapa hati keibuannya agak tersentuh setiap kali
terpandang bilik Along. Tetapi kerinduan dan kerisauan itu terubat
apabila melihat gurau senda anak-anaknya yang lain.
Seperti
selalu, Along bekerja keras membantu Abang Joe di bengkelnya. Sikap
Abang Joe yang baik dan kelakar itu sedikit sebanyak mengubat hatinya
yang luka. Abang Joe baik. Dia banyak membantu Along antaranya
menumpangkan Along di rumahnya dengan percuma. “Azam, kalau aku tanya
kau jangan marah k!”, soal Abang Joe tiba-tiba sewaktu mereka menikmati
nasi bungkus tengah hari itu. “Macam serius jer bunyinya Abang Joe?”
Along kehairanan. “Sebenarnya, kau lari dari rumah kan?” Along tersedak
mendengar soalan itu. Nasi yang disuap ke dalam mulut tersembur
keluar. Matanya juga kemerah-merahan menahan sedakan. Melihat keadaan
Along itu, Abang Joe segera menghulurkan air. “Kenapa lari dari rumah?
Bergaduh dengan parents?” Tanya Abang Joe lagi cuba menduga. Soalan
Abang Joe itu benar-benar membuatkan hati Along sebak. Along mendiamkan
diri. Dia terus menyuap nasi ke dalam mulut dan mengunyah perlahan.
Dia cuba menundukkan mukanya cuba menahan perasaan sedih. “Azam, kau
ada cita-cita tak…ataupun impian ker…?” Abang Joe mengubah topik
setelah melihat reaksi Along yang kurang selesa dengan soalannya tadi.
“Ada” jawab Along pendek “Kau nak jadi apa besar nanti? Jurutera?
Doktor? Cikgu? Pemain bola? Mekanik macam aku…atau….” Along
menggeleng-gelengkan kepala. “semua tak…Cuma satu je, saya nak mati
dalam pangkuan ibu saya.” Jawab Along disusuli ketawanya. Abang Joe
melemparkan tulang ayam ke arah Along yang tidak serius menjawab
soalannya itu. “Ala, gurau ja la Abang Joe. Sebenarnya….saya nak bawa
ibu saya ke Mekah dan…saya….saya nak jadi anak yang soleh!”. Perlahan
sahaja suaranya namun masih jelas didengari telinga Abang Joe. Abang
Joe tersenyum mendengar jawapannya. Dia bersyukur di dalam hati kerana
mengenali seorang anak yang begitu baik. Dia sendiri sudah
bertahun-tahun membuka bengkel itu namun belum pernah ada cita-cita
mahu menghantar ibu ke Mekah.
Setelah tamat waktu rehat,
mereka menyambung kerja masing-masing. Tidak seperti selalu, petang itu
Along kelihatan banyak berfikir. Mungkin terkesan dengan soalan Abang
Joe sewaktu makan tadi. “Abang Joe, hari ni, saya nak balik rumah
...terima kasih banyak kerana jaga saya beberapa hari ni”, ucap Along
sewaktu selesai menutup pintu bengkel. Abang Joe yang sedang mencuci
tangannya hanya mengangguk. Hatinya gembira kerana akhirnya anak muda
itu mahu pulang ke pangkuan keluarga. Sebelum berlalu, Along memeluk
lelaki bertubuh sasa itu. Ini menyebabkan Abang Joe terasa agak sebak.
“Abang Joe, jaga diri baik-baik. Barang-barang yang saya tinggal kat
rumah Abang Joe tu, saya hadiahkan untuk Abang Joe.” Kata Along lagi.
“Tapi, kau kan boleh datang bila-bila yang kau suka ke rumah aku!?”,
soal Abang Joe. Dia risau kalau-kalau Along menyalah anggap tentang
soalannya tadi. Along hanya senyum memandangnya. “Tak apa, saya bagi
kat Abang Joe. Abang Joe, terima kasih banyak ye! Saya rasa tak mampu
nak balas budi baik abang. Tapi, saya doakan perniagaan abang ni
semakin maju.” Balasnya dengan tenang. Sekali lagi Abang Joe memeluknya
bagai seorang abang memeluk adiknya yang akan pergi jauh.
Berbekalkan
upahnya, Along segera menuju ke butik kakak Fariz untuk membeli jubah
yang diidamkannya itu. Setibanya di sana, tanpa berlengah dia terus ke
tempat di mana baju itu disangkut. “ Hey Azam, mana kau pergi? Hari tu
mak kau ada tanya aku pasal kau. Kau lari dari rumah ke?”, soal Fariz
setelah menyedari kedatangan sahabatnya itu. Along hanya tersengeh
menampakkan giginya. “Zam, mak kau marah kau lagi ke? Kenapa kau tak
bagitau hal sebenar pasal kes kau tumbuk si Malik tu?” “Tak pe lah,
perkara dah berlalu….lagipun, aku tak nak ibu aku terasa hati kalau dia
dengar tentang perkara ni", terang Along dengan tenang. “Kau jadi
mangsa. Tengok, kalau kau tak bagitau, mak kau ingat kau yang salah",
kata Fariz lagi. “Tak apa lah Riz, aku tak nak ibu aku sedih. Lagipun
aku tak kisah.” “Zam..kau ni…..” “Aku ok, lagipun aku sayang dekat ibu
aku. Aku tak nak dia sedih dan ingat kisah lama tu.” Jelas Along
memotong kata-kata si sahabat yang masih tidak berpuas hati itu. “Aku
nak beli jubah ni Riz. Kau tolong balutkan ek, jangan lupa lekat kad ni
sekali, k!”, pinta Along sambil menyerahkan sekeping kad berwarna
merah jambu. “No problem…tapi, mana kau dapat duit? Kau kerja ke?” ,
soal Fariz ingin tahu. “Aku kerja kat bengkel Abang Joe. Jadi pembantu
dia", terang Along. “Abang Joe mana ni?” “Yang buka bengkel motor kat
Jalan Selasih sebelah kedai makan pakcik kantin kita tu!”, jelas Along
dengan panjang lebar. Fariz mengangguk . “Azam, kau nak bagi hadiah ni
kat mak kau bila?” “Hari ni la…” balas Along. “Ooo hari lahir ibu kau
hari ni ek?” “Bukan, minggu depan…” “Habis?. Kenapa kau tak tunggu
minggu depan je?”, soal Fariz lagi. “Aku rasa hari ni je yang yang
sempat untuk aku bagi hadiah ni. Lagipun, aku harap lepas ni ibu aku
tak marah aku lagi.” Jawabnya sambil mengukir senyum.
Along
keluar daripada kedai. Kelihatan hujan mulai turun. Namun Along tidak
sabar menunggu untuk segera menyerahkan hadiah itu untuk ibu. Sambil
menunggang, Along membayangkan wajah ibu yang sedang tersenyum menerima
hadiahnya itu. Motosikalnya sudah membelok ke Jalan Nuri II. Tiba di
simpang hadapan lorong masuk ke rumahnya, sebuah kereta wira yang cuba
mengelak daripada melanggar seekor kucing hilang kawalan dan terus
merempuh Along dari depan yang tidak sempat mengelak. Akibat
perlanggaran yang kuat itu, Along terpelanting ke tengah jalan dan
mengalami hentakan yang kuat di kepala dan belakangnya. Topi keledar
yang dipakai mengalami retakan dan tercabut daripada kepalanya, Along
membuka matanya perlahan-lahan dan terus mencari hadiah untuk si ibu dan
dengan sisa kudrat yang ada, dia cuba mencapai hadiah yang tercampak
berhampirannya itu. Dia menggenggam kuat cebisan kain dan kad yang
terburai dari kotak itu. Darah semakin membuak-buak keluar dari
hidungnya. Kepalanya juga terasa sangat berat, pandangannya
berpinar-pinar dan nafasnya semakin tersekat-sekat. Dalam keparahan itu,
Along melihat kelibat orang–orang yang sangat dikenalinya sedang
berlari ke arahnya. Serta merta tubuhnya terus dirangkul seorang wanita.
Dia tahu, wanita itu adalah ibunya. Terasa bahagia sekali apabila
dahinya dikucup saat itu. Along gembira. Itu kucupan daripada ibunya.
Dia juga dapat mendengar suara Angah, Alang dan Atih memanggil-manggil
namanya. Namun tiada suara yang keluar dari kerongkongnya saat itu.
Along semakin lemah. Namun, dia kuatkan semangat dan cuba menghulurkan
jubah dan kad yang masih digenggamannya itu. “Ha..hadiah….untuk….ibu………”
ucapnya sambil berusaha mengukir senyuman. Senyuman terakhir buat ibu
yang sangat dicintainya. Si ibu begitu sebak dan sedih. Si anak
dipeluknya sambil dicium berkali-kali. Air matanya merembes keluar bagai
tidak dapat ditahan lagi. Pandangan Along semakin kelam. Sebelum
matanya tertutup rapat, terasa ada air hangat yang menitik ke wajahnya.
Akhirnya, Along terkulai dalam pangkuan ibu dan dia pergi untuk
selama-lamanya.
Selesai upacara pengebumian, si
ibu terus duduk di sisi kubur Along bersama Angah, Alang dan Atih.
Dengan lemah, wanita itu mengeluarkan bungkusan yang hampir relai dari
beg tangannya. Sekeping kad berwarna merah jambu bertompok darah yang
kering dibukanya lalu dibaca. ‘Buat ibu yang sangat dikasihi,
ampunkanlah salah silap along selama ini. Andai along melukakan hati
ibu, along pinta sejuta kemaafan. Terimalah maaf along bu..Along janji
tak kan membuatkan ibu marah lagi. Ibu, Along sayang ibu
selama-lamanya. Selamat hari lahir ibu… dan terimalah hadiah ini…..KHAS
UNTUKMU IBU!’ Kad itu dilipat dan dicium. Air mata yang bermanik mula
berjurai membasahi pipi. Begitu juga perasaan yang dirasai Angah, Alang
dan Atih. Masing-masing berasa pilu dan sedih dengan pemergian seorang
abang yang selama ini disisihkan. Sedang melayani perasaan
masing-masing, Fariz tiba-tiba muncul. Dia terus mendekati wanita tua
itu lalu mencurahkan segala apa yang dipendamnya selama ini. “Makcik,
ampunkan segala kesalahan Azam. Azam tak bersalah langsung dalam kes
pergaduhan tu makcik. Sebenarnya, waktu Azam dan saya sibuk menyiapkan
lukisan, Malik datang dekat kami. Dia sengaja cari pasal dengan Azam
dengan menumpahkan warna air dekat lukisan Azam. Lepas tu, dia
ejek-ejek Azam. Dia cakap Azam anak pembunuh. Bapa Azam seorang
pembunuh dan … dia jugak cakap, ibunya seorang perempuan gila…” cerita
Fariz dengan nada sebak. Si ibu terkejut mendengarnya. Terbayang di
ruang matanya pada ketika dia merotan Along kerana kesalahan menumbuk
Malik. “Tapi, kenapa arwah tidak ceritakan pada makcik Fariz?” Soalnya
dengan sedu sedan. “Sebab…..dia tak mahu makcik sedih dan teringat
kembali peristiwa dulu. Dia cakap, dia tak nak makcik jatuh sakit lagi,
dia tak nak mengambil semua ketenangan yang makcik ada
sekarang…walaupun dia disalahkan, dia terima. Tapi dia tak sanggup
tengok makcik dimasukkan ke hospital sakit jiwa semula....” Terang
Fariz lagi. Dia berasa puas kerana dapat menyatakan kebenaran bagi
pihak sahabatnya itu.
Si ibu terdiam mendengar penjelasan
Fariz. Terasa seluruh anggota badannya menjadi Lemah. Berbagai perasaan
mencengkam hatinya. Sungguh hatinya terasa sangat pilu dan terharu
dengan pengorbanan si anak yang selama ini dianggap derhaka.
No comments:
Post a Comment